SHAH ALAM, 7 APRIL: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mariam Abdul Rashid atas pemergian suami beliau, Allahyarham Abu Bakar Din.
Beliau berkata pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang dirasai seluruh keluarga dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Innalillahi wainnailaihi rojiun. Saya merakamkan ucapan takziah kepada Mariam Abdul Rashid atas pemergian suami beliau, Allahyarham Abu Bakar Din.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Mariam memaklumkan suaminya menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.30 tengah malam tadi.
Jenazah diuruskan hari ini sebelum dibawa ke kediaman keluarga di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Sempak.








