SUBANG JAYA, 22 NOV: Sebanyak tujuh juta transaksi menggunakan Peranti Sistem Titik Jualan (POS) direkodkan di 15 Bazar Ramadan Selangor dan 1,500 petak disediakan Agrobank pada Ramadan lalu.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1.7 juta transaksi direkodkan di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, sekali gus menunjukkan ekosistem digital negeri berada pada landasan kukuh.
“Secara keseluruhan, nilai jualan 15 Bazar Ramadan di seluruh Selangor menggunakan sistem POS dianggarkan mencecah RM200 juta.
“Tujuh juta transaksi itu termasuk penggunaan kupon digital PLATS, namun terdapat juga pembeli menggunakan imbasan kod QR melalui bank lain. Transaksi berkenaan tidak direkodkan dalam sistem PLATS tetapi tetap menggunakan peranti POS,” katanya kepada pemberita.
Ditemui selepas melancarkan Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Selangor 2025, Amirudin berkata pengguna serta penduduk di Lembah Klang menunjukkan kesediaan untuk beralih kepada digitalisasi.
“Selangor sedang bergerak ke arah negeri pintar melalui pembangunan infrastruktur digital, tadbir urus pintar dan ekonomi digital. Rekod penggunaan POS yang menggalakkan ini menjadi indikator bahawa kita berada di landasan tepat,” katanya.





