ad

PRN Sabah: Hari penamaan calon berlangsung esok

14 Nov 2025, 2:48 AM
PRN Sabah: Hari penamaan calon berlangsung esok

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Calon-calon bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan diketahui esok.

Pada hari penamaan calon, setiap daripada mereka diberikan tempoh satu jam dari 9 hingga 10 pagi, untuk mengemukakan borang pencalonan sebelum senarai rasmi yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya masing-masing.

Setelah pengesahan selesai, calon-calon bertanding boleh memulakan kempen sepanjang tempoh 14 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), iaitu hingga 11.59 malam 28 Nov.

Bagi memudahkan proses, SPR menasihati bakal calon supaya mengisi borang dan membuat semakan awal dengan pejabat Pegawai Pengurus atau pejabat PRN Sabah, serta membuat pembayaran deposit sebelum hari penamaan.

Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka pada pilihan raya negeri kali ini.

Mereka terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan.

Setakat 8 malam tadi, PKR telah mengumumkan 10 calon dan DAP tujuh, yang kesemuanya bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Barisan Nasional (BN) yang melibatkan UMNO, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan seorang calon langsung pula bertanding di 45 DUN.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga telah mengumumkan bertanding di 55 DUN terdiri daripada calon Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Cinta Sabah (PCS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

Parti Warisan (Warisan), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Impian Sabah masing-masing mengumumkan bertanding di semua 73 DUN, Perikatan Nasional (41 DUN) manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing 40 DUN.

Sementara itu, Parti Kerjasama Anak Negeri (26 calon), Parti Maju Sabah (SAPP)(enam DUN) dan 17 lagi calon Bebas yang bergerak atas nama 'Gelombang Hitam' (Black Wave) turut bertanding pada PRN ke-17.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.