Jambatan pejalan kaki Damansara Avenue dibuka, mudahkan akses MRT

7 Apr 2026, 8:32 AM
Jambatan pejalan kaki Damansara Avenue dibuka, mudahkan akses MRT
Jambatan pejalan kaki Damansara Avenue dibuka, mudahkan akses MRT
Jambatan pejalan kaki Damansara Avenue dibuka, mudahkan akses MRT
Jambatan pejalan kaki Damansara Avenue dibuka, mudahkan akses MRT
Jambatan pejalan kaki Damansara Avenue dibuka, mudahkan akses MRT

PETALING JAYA, 7 APRIL: Jambatan pejalan kaki Damansara Avenue yang menghubungkan stesen MRT Sri Damasara Sentral dan pusat pembangunan bercampur, Damansara Avenue dibuka hari ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata jambatan bertingkat sepanjang 320 meter itu selari dengan aspirasi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam memperkukuh pembangunan berorientasi transit (TOD).

“Secara keseluruhannya, pembukaan jambatan penghubung ini dijangka memberi manfaat kepada pengguna MRT serta komuniti setempat melalui penyediaan akses yang lebih mudah dan selamat.

“Pembangunan infrastruktur berimpak tinggi seperti ini juga merupakan pemangkin penting ke arah pembentukan bandar yang lebih berdaya huni, efisyen dan mampan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis perasmian jambatan pejalan kaki Damansara Avenue yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling di sini, hari ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berucap ketika perasmian jambatan pejalan kaki yang menghubungkan stesen MRT Sri Damasara Sentral dan pusat pembangunan bercampur, Damansara Avenue pada 7 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Mohamad Zahri menambah, pembinaan jambatan tersebut berdepan cabaran kejuruteraan kompleks berikutan perlu merentasi beberapa laluan utama iaitu Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Jalan Kuala Selangor dan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) 2.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak swasta dalam memastikan pelaksanaan pembangunan infrastruktur yang menyeluruh serta berimpak tinggi.

“Sinergi ini membolehkan penyampaian kemudahan awam yang lebih berkualiti, sekali gus berupaya meningkatkan kesejahteraan warga kota,” katanya.

Jambatan pejalan kaki Damansara Avenue menyediakan kemudahan laluan berbumbung bagi meningkatkan keselesaan pengguna pengangkutan awam dengan persekitaran yang selamat dan terlindung.

Projek inisiatif bersama pemaju swasta itu dibina dengan kos RM18 juta dan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.