3,000 peserta dari 100 negara sertai misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza

6 Apr 2026, 10:30 AM
3,000 peserta dari 100 negara sertai misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza
3,000 peserta dari 100 negara sertai misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza
3,000 peserta dari 100 negara sertai misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza

SEPANG, 6 APRIL: Seramai 3,000 peserta dari 100 negara menyertai misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui Global Sumud Flotilla 2.0, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata misi itu akan membawa bantuan melibatkan 300 tan barangan dan 30 kontena bagi manfaat kira-kira 100,000 penduduk Gaza yang terkesan, hasil sumbangan Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan orang ramai.

“Ini bukan misi peribadi atau kelompok tertentu, tetapi saya percaya iamembawa mesej kepada kepad ummah dan kemanusiaan seluruh dunia.

“Gerakan massa yang besar-besaran ini bukan hanya terletak kepada perhimpunan, berkumpulan dan forum mengikut negara masing-masing.

“Kali ini kita cuba untuk sampai ke bumi Gaza dengan niat kedamaian, dengan niat keamanan dan membebaskan sahabat-sahabat dan saudara-mara kita yang telah terperangkap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.

Amirudin, yang juga Menteri Penaung Misi Sumud Flotilla 2.0, menambah pihaknya akan berusaha sedaya upaya melaksanakan amanah dan yakin mampu mengharungi cabaran misi ini.

“Kerajaan Persekutuan telah memberi kepercayaan kepada kumpulan misi untuk berunding dengan rakan negara melalui pendekatan hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G), termasuk membuka laluan darat bagi menjayakan pelaksanaan misi ini,” jelasnya.

Pada 3 April lalu, Pejabat Dato’ Menteri Besar memaklumkan Amirudin akan mewakili Malaysia untuk mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 sebagai usaha menyalurkan bantuan dan solidariti kepada rakyat Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelantikan Amirudin mewakili Malaysia mengetuai misi Global Sumud Flotilla 2.0 ke Mesir bagi membantu melancarkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menurut Anwar, keputusan itu dibuat susulan keperluan rundingan yang melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan Mesir dan Qatar selain berkait dengan penghantaran kontena bantuan berskala besar.

Sekretariat Global Sumud Flotilla semalam mengumumkan misi akan berlepas sekali lagi ke Gaza pada 12 April ini dalam misi terbaharu cuba memecahkan kepungan haram Israel ke atas wilayah Palestin.

Misi kemanusiaan itu, yang disifatkan terbesar pernah digerakkan oleh masyarakat sivil, dijadual berlepas dari Barcelona melibatkan 80 kapal serta lebih 1,000 aktivis.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.