SHAH ALAM, 5 APRIL: Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) mempergiat pengesanan awal perkembangan kanak-kanak menerusi program saringan di Shah Alam bagi memastikan akses intervensi yang tepat.
Program Saringan Perkembangan Awal Kanak-Kanak itu berlangsung di Pusat Pendidikan Awal YANIS, Bangunan IDCC semalam dengan tumpuan kepada penilaian perkembangan secara menyeluruh.
Bertepatan dengan Bulan Kesedaran Autisme, program itu turut meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengesanan awal serta sokongan berterusan kepada kanak-kanak dalam spektrum autisme.
YANIS memaklumkan inisiatif berkenaan bertujuan memastikan setiap kanak-kanak menerima sokongan dan pendidikan yang bersesuaian mengikut keperluan masing-masing.
“Program ini memberi tumpuan kepada penilaian perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, sebagai langkah awal dalam memastikan setiap anak mendapat akses kepada intervensi dan sokongan pendidikan yang bersesuaian,” menurut kenyataan itu.

Program tersebut turut dihadiri EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari serta Ahli Dewan Negeri Batu Tiga merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) Danial Al-Rashid Haron.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YANIS, Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim dan Pengurus Besar YANIS, Abdul Qayyum M Suhaimi.
YANIS menegaskan penganjuran itu mencerminkan komitmen berterusan dalam membina ekosistem pendidikan awal yang inklusif serta memperkukuh sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas agar tidak tercicir dalam arus pembangunan.
“Semoga setiap usaha ini menjadi langkah awal dalam membuka lebih banyak peluang dan sinar harapan buat generasi masa hadapan,” katanya.








