Ketepikan politik, perpaduan kunci hadapi krisis global

4 Apr 2026, 2:33 PM
Ketepikan politik, perpaduan kunci hadapi krisis global

SELAYANG, 4 APR: Perpaduan rakyat menjadi kunci utama dalam memastikan kestabilan negara ketika dunia berdepan ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat, kata EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Taman Templer menegaskan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia amat penting ketika ini bagi menjamin kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan negara.

Menurut Anfaal, semua pihak perlu mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan bersama, khususnya dalam menghadapi cabaran semasa.

“Dalam suasana konflik semasa, kita mesti berdiri teguh sebagai rakyat Selangor dan Malaysia untuk mempertahankan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Taman Templer di Dataran Ilmu Taman Baru Selayang, hari ini.

Tambahnya, perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membangunkan negeri dan menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Anfaal turut memberi jaminan bahawa program komuniti akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kebajikan penduduk terus terpelihara.

Beliau berkata pihaknya akan memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan dalam meningkatkan infrastruktur serta penyampaian perkhidmatan.

“Kami akan terus melaksanakan program dan bekerjasama rapat dengan Majlis Perbandaran Selayang, Pejabat Daerah Gombak serta semua agensi kerajaan bagi memastikan pembangunan sampai kepada rakyat,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.