KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Selangor memperkenalkan inisiatif pelancongan baharu menerusi penyertaan dalam Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Fair 2026 yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Penyertaan kali ini menyaksikan Pavilion Selangor menghimpunkan 86 pempamer daripada pelbagai segmen industri pelancongan termasuk eko-pelancongan, taman tema, warisan budaya dan hospitaliti.
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata program selama tiga hari bermula semalam itu menyasarkan kehadiran sehingga 400,000 pengunjung ke Pavilion Selangor.
Menurutnya, penyertaan tersebut turut memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi dan pemain industri pelancongan, selaras dengan kempen Tahun Melawat Selangor dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Antara sorotan utama ialah pelancaran pakej pelancongan baharu oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang memberi tumpuan kepada pelancongan komuniti berasaskan warisan budaya, sejarah dan gastronomi di Klang.
“Inisiatif ini menawarkan pengalaman pelancongan lebih autentik dan menyeluruh kepada pelancong domestik serta antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pakej Pelancongan Klang di pentas utama MATTA Fair, hari ini.
Menurutnya, antara produk pelancongan diketengahkan termasuk Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Royal Klang Town Heritage Walk, Tanjung Harapan, sajian makanan laut Klang, GM Klang, Jalan Tengku Kelana (Little India), Pulau Ketam, Pasar Jawa, permainan tradisional gasing di Bukit Kapar, Laman Seni Safari serta Masjid Jamek Cina Muslim Klang.
Terdahulu, Tourism Selangor turut memeterai Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama Bateriku (M) Sdn Bhd bagi memperkukuh ekosistem pelancongan negeri.

Kerjasama itu memberi penekanan kepada penyediaan sokongan automotif yang lebih menyeluruh dan mudah diakses sekali gus meningkatkan keselamatan serta keselesaan perjalanan pelancong.
Suee Lim berkata inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk membangunkan ekosistem pelancongan yang lebih selamat, cekap dan berdaya saing, di samping memperkukuh imej Selangor sebagai destinasi mesra pelawat.
Orang ramai dialu-alukan mengunjungi Pavilion Selangor sehingga esok yang menghimpunkan pelbagai produk dan pemain industri merangkumi segmen eko-pelancongan, taman tema, warisan budaya dan hospitaliti.
Antara pempamer lain termasuk Farm Fresh, Nur Lembah Pangsun Eco Resort, Wet World Shah Alam, Farm In The City, DurianBB Academy, Fraser Valley Kuala Kubu Bharu, Muzium Sultan Alam Shah, Golden Palm Tree Malaysia, Jump Street Malaysia, Cyberview Resort & Spa serta Selangor Fruit Valley.












