Tourism Selangor tampil pavilion domestik terbesar di pameran MATTA 2026

6 Sep 2026, 3:42 AM
Tourism Selangor tampil pavilion domestik terbesar di pameran MATTA 2026
Tourism Selangor tampil pavilion domestik terbesar di pameran MATTA 2026

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Tourism Selangor mempamerkan kepelbagaian produk pelancongan negeri menerusi penglibatan 124 pempamer pada Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2026, sekali gus menjadikan pavilionnya yang terbesar bagi segmen domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata penyertaan itu bukan sekadar mempromosikan destinasi, sebaliknya memberi peluang kepada pengunjung meneroka pelbagai produk pelancongan yang boleh disusun sebagai satu pengalaman percutian lengkap.

“Produk pelancongan kita merangkumi ekopelancongan, agropelancongan, seni dan budaya, taman tema, hotel, resort serta pakej perkhemahan dan glamping atau perkhemahan mewah.

“Kita mengetengahkan keseluruhan produk pelancongan yang ada di Selangor, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian pengalaman yang boleh dinikmati oleh pengunjung,” katanya ketika ditemui Bernama di Pavilion Tourism Selangor pada MATTA Fair di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sini.

Chua berkata berkata konsep pelancongan berasaskan pengalaman itu turut diberi penekanan menerusi pelbagai aktiviti interaktif yang membolehkan pengunjung merasai sendiri keunikan produk dan identiti tempatan.

“Jika ramai mengenali wau bulan dari Kelantan, di Selangor sebenarnya kita mempunyai wau kapal. Di sini pengunjung boleh belajar membuat lukisan wau kapal dan menjadikannya rantai kunci sebagai cenderamata,” katanya.

Dalam pada itu, Chua berkata penyertaan Tourism Selangor pada MATTA Fair kali ini turut memberi tumpuan kepada pasaran domestik sempena Tahun Melawat Selangor 2026, dengan pemain industri menawarkan pelbagai pakej percutian yang menarik.

“Kita nampak pemain industri menyediakan pakej yang bukan sahaja melibatkan satu destinasi tetapi juga merangkumi tempoh dua hari satu malam atau tiga hari dua malam. Jadi untuk merancang percutian, ia boleh merangkumi sekali penginapan, makanan dan juga aktiviti,” katanya.

Mengulas sambutan pengunjung, beliau berkata MATTA Fair terus menjadi platform terbaik bagi Tourism Selangor menawarkan pelbagai pakej pelancongan pada harga istimewa, termasuk diskaun.

“Bagi mereka yang pernah datang, mereka tahu di sini memang boleh dapat pakej yang sangat berbaloi, dengan diskaun sehingga 50 peratus dan banyak hadiah percuma serta ganjaran yang boleh ditebus,” katanya.

Beliau berkata penganjuran MATTA Fair pada musim cuti sekolah kali ini turut menyaksikan kehadiran ramai pengunjung berkeluarga yang mengambil peluang merancang percutian selain menyertai aktiviti interaktif yang disediakan.

Antara pengisian utama di Pavilion Tourism Selangor yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 Sept itu ialah pameran terbesar Farm Fresh melibatkan 10 reruai, jualan buah-buahan dan promosi tiket Selangor Fruit Valley serta pameran produk Hos Komuniti Selangor.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.