SHAH ALAM, 4 APRIL: Seramai 45 atlet Selangor yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini menerima insentif tunai antara RM500 hingga RM1,000.
EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata insentif itu menjadi dorongan kepada atlet negeri untuk terus mengekalkan kecemerlangan dalam akademik dan sukan secara seimbang.
"Seramai 45 atlet menerima insentif antara RM500 hingga RM1,000 mengikut pencapaian masing-masing sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka menyeimbangkan akademik dan sukan.
"Ini adalah pengiktirafan kepada atlet Selangor yang bukan sahaja mewakili negeri dalam sukan, tetapi turut menunjukkan prestasi akademik yang membanggakan," ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Santunan Aidilfitri EXCO Kerajaan Negeri Selangor & ADUN Kota Anggerik, di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan menghimpunkan kira-kira 5,000 hingga 6,000 pengunjung dan dianjurkan secara bersama melibatkan DUN Kota Anggerik, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Sekretariat SUKMA, Hijrah Selangor serta beberapa agensi lain.
Menurut Najwan, pendekatan penganjuran secara bersepadu itu selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mengoptimumkan penggunaan peruntukan.
"Penganjuran ini dilaksanakan secara bersepadu selaras saranan Perdana Menteri bagi menjimatkan kos penganjuran majlis. Jabatan dan agensi digabungkan dalam satu majlis supaya penggunaan peruntukan lebih cekap dan berhemah," tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang hadir memeriahkan sambutan tersebut.
"Kira-kira 5,000 hingga 6,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis ini yang dianjurkan bersempena Aidilfitri sebagai ruang untuk kita bersilaturahim dan berkongsi kegembiraan bersama rakyat," katanya.
Keputusan SPM 2025 Selangor mencatatkan keputusan membanggakan apabila peratusan calon layak terima sijil terus meningkat kepada 92.15 peratus bagi 2025 berbanding 91.53 peratus pada tahun sebelumnya.









