PTRS bantu lonjak keputusan SPM Selangor, GPN meningkat

31 Mac 2026, 8:32 AM
PTRS bantu lonjak keputusan SPM Selangor, GPN meningkat

SHAH ALAM, 31 MAC: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) terus membuahkan hasil apabila membantu meningkatkan pencapaian SPM 2025, dengan Gred Purata Negeri (GPN) bertambah baik kepada 4.52.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Ahmad Azri Zainal Nor berkata peningkatan itu menunjukkan keberkesanan kelas tambahan percuma yang disediakan kepada pelajar tingkatan lima sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Ahmad Azri Zainal Nor bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor Datin Wan Nor Ashikin Abd Kassim ketika mengumumkan keputusan SPM negeri 2025 kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana di Puchong. Foto MBI

“Ini membuktikan PTRS banyak membantu calon mencapai keputusan cemerlang, termasuk meningkatkan jumlah pelajar layak menerima sijil,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, peratusan calon layak menerima Sijil Pelajaran Malaysia (LMS) turut meningkat kepada 92.15 peratus bagi 2025 berbanding 91.53 peratus pada tahun sebelumnya.

"Pencapaian ini amat membanggakan kerana pentadbiran negeri membantu pelajar untuk mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

Terdahulu beliau menyertai Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor Datin Wan Nor Ashikin Abd Kassim mengumumkan keputusan SPM negeri 2025 kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana di Puchong.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor Datin Wan Nor Ashikin Abd Kassim bergambar bersama pelajar SPM 2025 Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana di Puchong. Foto MBI

Dalam majlis berkenaan, Wan Nor Ashikin turut mengiktiraf peranan Yayasan MBI yang menjalankan PTRS dalam membantu pelajar berdepan peperiksaan SPM.

Sepanjang tahun lalu, lebih 160,000 pelajar tingkatan lima dan empat seluruh negeri ini menikmati program tuisyen percuma dengan peruntukan RM10 juta, merangkumi kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan.

Program tersebut menyasarkan pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah. PTRS peringkat sekolah rendah memfokuskan murid kelas pemulihan untuk menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Ketika keputusan SPM 2024, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata PTRS dikenal pasti antara penyumbang utama peningkatan bilangan pelajar di Selangor yang memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.