SHAH ALAM, 26 JULAI: Seramai 144 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari empat sekolah menengah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru menerima anugerah cemerlang sebagai penghargaan terhadap pencapaian akademik mereka.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mariam Abdul Rashid berkata penerima terdiri daripada pelajar yang memperoleh keputusan 6A hingga 11A dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, SMK Perempuan Kapar, SMK Tengku Idris Shah dan SMK Sungai Kapar Indah.
Menurutnya, majlis itu julung kali dianjurkan sejak beliau menjadi wakil rakyat dengan tujuan menghimpunkan pelajar cemerlang selain memberikan penghargaan atas usaha mereka mencapai keputusan membanggakan.
"Ini julung kali saya mengumpulkan pelajar cemerlang sejak jadi wakil rakyat. Walaupun jumlah sumbangan tidak besar, saya dapat bertemu mata dengan mereka dan memberikan motivasi supaya terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih tinggi," katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, majlis berkenaan bukan sekadar mengiktiraf kecemerlangan akademik, malah menjadi platform untuk menyuntik semangat kepada pelajar agar meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi serta kembali menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan.
Beliau berkata, pelajar tidak seharusnya menganggap keputusan SPM sebagai penamat, sebaliknya meneruskan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi, termasuk doktor falsafah (PhD).
"Saya juga berharap mereka menjadi contoh kepada adik-adik di sekolah masing-masing serta menyuntik semangat dan motivasi kepada bakal calon SPM 2026 untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang," ujarnya.
Tambah beliau, kehadiran ibu bapa, pengetua dan guru pada majlis berkenaan membuktikan sokongan padu terhadap usaha melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang di DUN Meru.
Beliau berharap generasi muda yang berjaya dalam akademik kembali menyumbang kepada ibu bapa, guru, sekolah dan masyarakat.
"Generasi muda ialah aset negara dan aset negeri Selangor. Kita mahukan generasi yang mampu mencorakkan masa depan negeri ke arah yang lebih baik," katanya.






