367 pelajar cemerlang SPM 2025 DUN Kota Anggerik dirai, catat keputusan 7A hingga 11A

23 Mei 2026, 11:39 AM
367 pelajar cemerlang SPM 2025 DUN Kota Anggerik dirai, catat keputusan 7A hingga 11A
367 pelajar cemerlang SPM 2025 DUN Kota Anggerik dirai, catat keputusan 7A hingga 11A
367 pelajar cemerlang SPM 2025 DUN Kota Anggerik dirai, catat keputusan 7A hingga 11A

SHAH ALAM, 23 MEI: Seramai 367 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang bersekolah dalam kawasan pentadbiran DUN Kota Anggerik diraikan dalam satu majlis hari ini.

EXCO Pembangunan Belia Mohd Najwan Halimi berkata majlis anjuran pusat khidmat DUN dan Parlimen Shah Alam yang memperuntuk kira-kira RM150,000 itu sebagai mengiktiraf usaha pelajar serta ibu bapa.

“Ini kali pertama kita raikan pelajar SPM yang cemerlang memandangkan pelajar sekitar sekolah di Shah Alam merekod peratusan lebih baik berbanding sebelum ini.

“Semua pelajar hari ini mencatat keputusan 7A hingga 11A. Kita harap inisiatif ini menjadi pendorong untuk mereka belajar lebih cemerlang selepas melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya ditemui di majlis berkenaan.

Beliau yang juga wakil rakyat Kota Anggerik turut menghargai kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana yang membantu mendapatkan senarai nama pelajar.

“Sekiranya ada program latihan atau kursus, kita akan cuba libatkan pelajar-pelajar ini supaya mereka mendapat ilmu tambahan.

“Untuk pelajar yang menduduki SPM akan datang, kita akan membantu dari segi persiapan selain turun ke sekolah sebagai galakan kepada mereka,” katanya.

Tahun ini, keputusan peperiksaan SPM 2025 mencatatkan pencapaian terbaik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42 berbanding 4.49 pada. 2024.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata seramai 366,435 calon atau 94.29 peratus layak diberikan sijil SPM pada 2025 berbanding 355,933 calon pada 2024.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.