SHAH ALAM, 2 APR: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengeluarkan notis kacau ganggu terhadap sebuah kandang lembu yang didapati beroperasi di bawah jambatan Lebuhraya PLUS (Putrajaya Link).
Menurut MPSepang, tindakan itu diambil susulan operasi pemantauan, lawatan tapak dan pengurusan aduan awam di sekitar Cyberjaya hingga Pulau Meranti, Puchong.
"Tugasan ini memberi tumpuan kepada lawatan tapak bersama Yang Dipertua, Jabatan Bangunan, Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Kejuruteraan serta Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Sepang ke kandang lembu.
"Di samping itu, pengurusan aduan awam serta urusan pentadbiran jabatan dilaksanakan bagi memastikan setiap aduan diambil tindakan sewajarnya mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sepanjang operasi tersebut, satu notis kacau ganggu dikeluarkan di bawah Seksyen 81 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) terhadap premis berkenaan.
MPSepang menjelaskan tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan kesalahan melibatkan kacau ganggu dan kepentingan awam, khususnya terhadap premis yang beroperasi tanpa mematuhi peraturan.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran serta tidak menjalankan sebarang aktiviti yang boleh menimbulkan kacau ganggu, selain mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.








