SHAH ALAM, 2 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merobohkan sebuah struktur kabin dua tingkat yang dibina tanpa kebenaran di Seksyen 7, Kota Damansara, semalam.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato' Mohamad Zahri Samingon berkata, tindakan itu dilaksanakan selepas pemilik gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan sejak September 2024.
Menurut beliau, pelbagai notis serta arahan sudah diberikan sebelum tindakan tegas diambil.
"Walaupun notis, siasatan dan arahan meruntuh serta mengosongkan premis telah diberi, pemilik masih gagal mengambil tindakan dalam tempoh yang ditetapkan.
"MBPJ tidak berkompromi dalam memastikan pematuhan undang-undang demi keselamatan penduduk," katanya ketika mengetuai operasi penguatkuasaan di lokasi berkenaan.

Operasi tersebut berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai jabatan dalaman MBPJ serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Muhammad Izwan Ahmad Kasim; Ahli Majlis MBPJ Zon 3, Muhammad Shazwan Suhaimi dan Pengarah Kawalan Bangunan MBPJ, Ismathinoon Abd Rahman.
MBPJ menegaskan akan terus mengambil tindakan terhadap sebarang binaan tanpa kebenaran bagi memastikan kesejahteraan penduduk serta mengekalkan Petaling Jaya sebagai bandar yang selamat, mampan dan sejahtera.








