MBPJ perkenal 14 garis panduan pelesenan baharu mulai Ogos

30 Jun 2026, 11:09 AM
MBPJ perkenal 14 garis panduan pelesenan baharu mulai Ogos

PETALING JAYA, 30 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkenalkan 14 garis panduan pelesenan baharu bagi memperkukuh tadbir urus perniagaan serta menyokong pertumbuhan sektor ekonomi baharu yang semakin berkembang di bandar raya itu.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata, garis panduan berkenaan dirangka hasil Bengkel Pengukuhan Pelesenan 3.0 yang diadakan pada April lalu sebelum dibincangkan dan diluluskan oleh majlis.

Menurut beliau, penambahbaikan itu mengambil kira perkembangan sektor ekonomi baharu (sunrise industries) yang dijangka terus berkembang pesat, sekali gus memastikan MBPJ mempunyai mekanisme pelesenan yang lebih jelas, relevan dan bersesuaian dengan keperluan semasa.

"Garis panduan ini dijadual berkuat kuasa mulai 1 Ogos bagi memberi ruang kepada orang ramai dan pengusaha memahami penambahbaikan yang diperkenalkan sekali gus memastikan amalan kawal selia selari dengan perkembangan sektor baharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Penyediaan dan Pelaksanaan Garis Panduan Aktiviti Perniagaan Baharu di Petaling Jaya di Menara MBPJ, di sini, hari ini.

Mohamad Zahri berkata antara aktiviti yang diberikan perhatian menerusi garis panduan berkenaan ialah pengoperasian gimnasium 24 jam, pusat rawatan estetik, dapur berpusat, gerai kaki lima serta aktiviti perkhidmatan kurier.

Menurutnya, MBPJ mengambil pendekatan membenarkan sesuatu aktiviti dijalankan dengan kawal selia yang bersesuaian berbanding memperkenalkan lebih banyak larangan kepada pengusaha.

Dalam pada itu, Mohamad Zahri berkata penyediaan garis panduan itu turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak menerusi sesi libat urus yang melibatkan pemain industri, ahli majlis serta persatuan penduduk.

Beliau menambah, perbincangan telah dimulakan sejak peringkat awal bagi memastikan pelaksanaan dasar itu tidak membebankan mana-mana pihak, sebaliknya memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan.

Mohamad Zahri turut memaklumkan MBPJ akan mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha berkaitan pada penghujung Julai bagi memperincikan pelaksanaan garis panduan serta mendapatkan maklum balas sebelum ia dikuatkuasakan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.