SHAH ALAM, 2 APRIL: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan enam notis sitaan terhadap premis perniagaan dalam operasi penguatkuasaan berkala di sekitar Ampang.
Operasi yang dijalankan di Pandan Indah dan Kampung Baru Ampang itu melibatkan pemeriksaan ke atas 10 premis bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang kecil serta syarat lesen ditetapkan.
Menurut MPAJ, tindakan sitaan diambil terhadap premis yang didapati melanggar syarat lesen dalam operasi berkenaan.
"Sebanyak enam tindakan sitaan telah dilaksanakan atas melanggar syarat lesen yang ditetapkan," menurut kenyataan di Facebook.
MPAJ berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara sah, teratur dan mematuhi peraturan ditetapkan.
Tambahnya, operasi dan pemantauan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan pemilik premis.
Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat boleh menyalurkannya melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MPAJ atau talian 1-800-22-8100.








