Wakil rakyat Seri Serdang bawa isu kenaikan harga barang ke DNS

2 Apr 2026, 3:00 AM
Wakil rakyat Seri Serdang bawa isu kenaikan harga barang ke DNS
Wakil rakyat Seri Serdang bawa isu kenaikan harga barang ke DNS
Wakil rakyat Seri Serdang bawa isu kenaikan harga barang ke DNS

SHAH ALAM, 2 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang akan membawa isu kenaikan harga barang susulan konflik di Asia Barat ke Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 20 April ini.

Abbas Salimi Azmi berkata, ketegangan di rantau itu mendorong peningkatan harga minyak global yang berpotensi memberi tekanan kepada ekonomi tempatan, termasuk di Selangor.

“Saya berpandangan kemungkinan besar harga barang juga akan naik. Jadi terdapat keperluan satu perhatian yang khusus daripada Kerajaan Negeri.

“Ia untuk memastikan isu ekonomi dan kebajikan rakyat sentiasa dalam keadaan yang baik, terutama dari segi stok makanan kita termasuk juga harga barang makanan,” katanya kepada Media Selangor.

Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Abbas Salimi Azmi.

Pada masa sama, beliau berharap sidang DNS dapat dimanfaatkan sebagai platform terbaik untuk semua wakil rakyat memperjuangkan kepentingan negeri, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

“Kita tidak mahu lagi isu-isu ataupun perkara-perkara yang remeh-temeh, yang membawa sentimen cuba memburuk-burukkan Kerajaan Negeri, sedangkan pelbagai usaha telah dibuat untuk rakyat sepanjang tiga tahun.

“Jadi, bagi saya dalam menghadapi cabaran yang besar, semua wakil rakyat perlu memberi pandangan serta menjadikan sidang DNS sebagai tempat bagaimana untuk kita menjaga Selangor dalam keadaan getir yang ada pada hari ini,” katanya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah memberi perkenan pembukaan Sidang DNS Pertama bagi Penggal Keempat 2026 yang dijadualkan bermula 20 April ini.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San berkata Sultan Selangor juga dijangka berangkat bagi merasmikan pembukaan sidang berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.