SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Selangor bersedia membuat pinjaman bernilai puluhan juta hingga berbilion ringgit daripada Kerajaan Persekutuan sekiranya diperlukan bagi membiayai projek tebatan banjir dan menaik taraf sistem perparitan negeri.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu wajar dipertimbangkan bagi menangani masalah banjir, khususnya banjir kilat di kawasan bandar yang memerlukan penambahbaikan sistem saliran di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Memandangkan Kerajaan Negeri sudah tidak mempunyai apa-apa pinjaman daripada kerajaan persekutuan, saya percaya kalau nilainya puluhan juta sampai bilion ringgit, I think it’s worth it (saya rasa berbaloi) untuk Kerajaan Negeri membuat pinjaman untuk selesaikan masalah perparitan ini termasuk di peringkat PBT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100 juta bagi pengurusan banjir menerusi Belanjawan Selangor 2027, hampir sekali ganda berbanding peruntukan pada 2022.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut bersedia menanggung perbelanjaan tambahan bagi memastikan projek berkaitan dapat dilaksanakan tanpa terlalu terikat dengan kekangan kewangan.
Beliau berkata PBT juga telah diarahkan menggunakan antara 20 hingga 30 peratus rizab masing-masing bagi membiayai usaha pengurusan banjir.
Bagaimanapun, Amirudin menegaskan penyelarasan antara agensi perlu diperkukuh bagi memastikan langkah menangani banjir dilaksanakan dengan berkesan.
“Isu yang saya rasa perlu diberi penekanan adalah tentang gerak kerja, pemerhatian, hubungan di antara semua agensi untuk bekerja sebagai satu pasukan untuk menangani isu banjir ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas banjir di Parit Mahang, Ijok, Amirudin berkata kejadian berkenaan bukan hanya berpunca daripada limpahan air, tetapi turut dipengaruhi sistem perparitan yang perlahan akibat struktur pembetung di hadapan rumah, kerosakan ban serta fenomena air pasang besar.
Menurutnya, kerja mengepam air hanya dapat dimulakan selepas 20 hari banjir kerana paras air pasang yang tinggi sebelum itu menyebabkan usaha pengepaman tidak berkesan.
Katanya, air yang dipam disalurkan terus ke sungai atau laut bagi membantu mengurangkan takungan di kawasan terjejas.







