SPM 2025: Tiga pelajar OKU Selangor raih semua A

1 Apr 2026, 1:00 PM
SPM 2025: Tiga pelajar OKU Selangor raih semua A
SPM 2025: Tiga pelajar OKU Selangor raih semua A

SHAH ALAM, 1 APR: Tiga Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) di Selangor mencatat pencapaian cemerlang apabila memperoleh semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor (MTOS), Danial Al-Rashid Haron berkata mereka ialah Muhammad A'isy Imtiyaz Mohamad Fuad dari Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari Subang Jaya yang merupakan OKU masalah pembelajaran dengan keputusan 7A+, 4A.

Selain itu, Nur Anati Md Lasif Mulyadi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Harun, Kuala Selangor yang mengalami kurang upaya penglihatan (buta) memperoleh 1A+, 4A, 3A-, manakala Diana Zulfa Zufli, OKU fizikal dari SMK Dusun Nanding meraih 6A, 2A-.

“Anak istimewa bukan kurang upaya, mereka cuma perlukan sokongan dan juga peluang. Apabila diberikan peluang mereka juga buktikan mereka adalah luar biasa. Saya sangat berbangga dengan pencapaian mereka.

“Ini bukan sekadar keputusan, ini adalah inspirasi kepada semua masyarakat di luar sana. Di sebalik kejayaan ini, saya percaya ada guru yang membimbing, ada ibu bapa yang tidak pernah putus asa.

“Selain itu, ada sistem sokongan yang berterusan dan hakikatnya anak istimewa juga mampu untuk mendapat kejayaan yang diidamkan,” katanya kepada Media Selangor.

Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor (MTOS), Danial Al-Rashid Haron. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, seramai 371 calon CBPK berdaftar bagi SPM 2025 di Selangor dengan 362 hadir menduduki peperiksaan dan 263 daripadanya layak mendapat sijil (LMS).

Menurutnya, peratus LMS bagi CBPK Selangor meningkat kepada 80.94 peratus berbanding 72.02 peratus pada 2024.

“Ini bukan angka biasa. Ini adalah bukti usaha, kesabaran dan sokongan yang berterusan daripada semua pihak kepada murid berkeperluan khas di Selangor.

“Sebagai Pengerusi MTOS, ini adalah komitmen kita untuk terus memperkukuhkan pendidikan inklusif dan memastikan tiada sesiapa pun yang tercicir.

“Kita mahu semua diberikan peluang sama rata dengan sistem sokongan yang lebih baik. Tahniah kepada pelajar, guru dan ibu bapa atas kejayaan ini,” katanya.

Keputusan SPM 2025 yang diumumkan semalam mencatat pencapaian terbaik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42 berbanding 4.49 pada tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata seramai 366,435 calon atau 94.29 peratus layak menerima sijil SPM pada 2025 berbanding 355,933 calon pada 2024.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor Datin Wan Nor Ashikin Abd Kassim ketika mengumumkan keputusan SPM negeri 2025 kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana di Puchong pada 31 Mac 2026. Foto Facebook Ahmad Azri

Di Selangor, Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) turut menunjukkan impak positif apabila membantu meningkatkan pencapaian dengan Gred Purata Negeri (GPN) bertambah baik kepada 4.52.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Ahmad Azri Zainal Nor berkata peningkatan itu membuktikan keberkesanan kelas tambahan percuma yang disediakan kepada pelajar tingkatan lima sejak beberapa tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor Datin Wan Nor Ashikin Abd Kassim semalam mengumumkan keputusan SPM negeri 2025 kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana di Puchong.

Dalam majlis berkenaan, Wan Nor Ashikin turut mengiktiraf peranan Yayasan MBI yang menjalankan PTRS dalam membantu pelajar berdepan peperiksaan SPM.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.