SHAH ALAM, 1 APRIL: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menjalankan operasi kerja pembersihan sampah haram di kawasan Jalan Banting-Klang, pagi tadi.
Operasi itu dijalankan melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Kesihatan Persekitaran selepas lokasi berkenaan dikesan sebagai kawasan ‘hotspot’ aktiviti pembuangan sampah.
"Kerja-kerja pembersihan sampah dan memasang papan tanda larangan pembuangan sampah dilakukan di berhadapan Jalan Utama 12, Telok Panglima Garang pada awal pagi tadi," menurut MPKL dalam hantaran di Facebook.
MPKL menegaskan kesalahan membuang sampah boleh dikenakan tindakan di Bawah Undang- Undang Kecil 4, UUK (4) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MDKL 2007.
Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran bersih dan selamat demi kesejahteraan komuniti setempat.










