SHAH ALAM, 18 APRIL: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) melaksanakan operasi pembersihan sampah haram dan pemasangan papan tanda larangan pembuangan sampah di sekitar Jalan Sungai Nangka, Banting.
Operasi yang dijalankan pasukan petugas khas Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran MPKL pada Rabu lalu, turut melibatkan pemasangan penghadang konkrit di lokasi tersebut.
“Operasi ini hasil pemantauan unit penguatkuasaan serta aduan awam berhubung aktiviti pembuangan sampah haram di kawasan berkenaan,” maklumnya menerusi kenyataan di Facebook.
Menurut MPKL, lokasi tersebut dikenal pasti sebagai tanah rizab kerajaan yang sering menjadi tumpuan aktiviti pelupusan sampah tidak sah.
“Operasi bermula pada 9.30 pagi dan tamat sekitar 11 pagi dengan kerja pembersihan serta pemasangan papan tanda larangan dan penghadang konkrit,” katanya.
MPKL akan terus mempergiat pemantauan serta tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang.
Tambahnya, pihak berkuasa tempatan itu komited memastikan persekitaran sentiasa bersih dan selamat demi kesejahteraan komuniti setempat.








