MPAJ sita 42 halangan parkir di kawasan perniagaan

1 Apr 2026, 4:04 AM
MPAJ sita 42 halangan parkir di kawasan perniagaan

SHAH ALAM, 1 APR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyita 42 halangan parkir dalam operasi penguatkuasaan di beberapa kawasan perniagaan sekitar Ampang, semalam.

Operasi yang dijalankan di Bandar Baru Ampang, Ampang Indah dan Pandan Indah itu turut menyaksikan 10 notis serta 34 kompaun dikeluarkan terhadap individu yang didapati meletakkan halangan tanpa kebenaran di petak parkir awam.

Menurut MPAJ, tindakan tersebut diambil susulan pemantauan berkala terhadap kegiatan menghalang petak parkir yang sering berlaku di kawasan berkenaan.

"Operasi dilaksanakan melalui Jabatan Penguatkuasaan hasil pemantauan berkala terhadap halangan di petak tempat letak kereta di sekitar kawasan perniagaan," menurut kenyataan di Facebook.

Antara halangan yang disita Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam operasi penguatkuasaan terhadap perbuatan ‘cop’ parkir di kawasan perniagaan sekitar Ampang pada 31 Mac 2026. Foto Facebook MPAJ

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan langkah berkenaan bertujuan memastikan kemudahan parkir digunakan secara adil oleh orang awam, selain mengelakkan gangguan terhadap kelancaran perniagaan dan lalu lintas.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak meletakkan sebarang objek bagi menghalang petak parkir awam.

"Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan," tegas MPAJ.

Dalam pada itu, MPAJ menegaskan pemantauan dan tindakan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan persekitaran lebih tersusun, selamat dan harmoni.

Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat boleh menyalurkannya melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MPAJ atau talian 1-800-22-8100.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.