SHAH ALAM, 31 MAC: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengeluarkan notis kepada pemaju sebuah tapak projek di Telok Panglima Garang selepas didapati gagal mematuhi syarat dan peraturan pengurusan sisa.
Menurut MPKL, tindakan itu diambil susulan operasi Unit Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran yang mendapati tahap kebersihan tapak projek tidak memuaskan dan berpotensi menjejaskan kesihatan awam.
"Antara notis yang telah dikeluarkan adalah Notis Pemberitahuan dan Notis Kompaun di bawah Seksyen 109, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) atas kesalahan ingkar arahan dan syarat kelulusan pengurusan sisa pepejal, termasuk kegagalan menyelenggara kawasan tapak projek dan rumah kongsi dengan sempurna," menurut MPKL dalam hantaran di Facebook.

Pihak berkuasa tempatan itu memberitahu antara kesalahan lain yang dikesan termasuk pembiakan nyamuk, penempatan sisa pepejal secara tidak teratur serta aktiviti pembakaran terbuka yang mengganggu orang sekeliling.
MPKL menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang, khususnya berkaitan kebersihan persekitaran dan kesihatan awam.
Tambahnya, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan kesejahteraan serta kualiti hidup penduduk Kuala Langat sentiasa terpelihara.








