SHAH ALAM, 30 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan kebanyakan negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak sehingga jam 6 petang ini.
Antara kawasan terjejas termasuk Perlis; Kedah; Perak; Kelantan; Terengganu; Pahang; Selangor; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Negeri Sembilan; Melaka dan Johor.
Di Sarawak, amaran melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah dan Kapit, manakala di Sabah melibatkan kawasan Pedalaman dan Pantai Barat termasuk Kota Kinabalu.
Menurut MetMalaysia, ribut petir disertai hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam.
Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi satu-satu keluaran.
Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada serta mengelakkan aktiviti luar ketika cuaca buruk.
Sebelum ini, MetMalaysia memaklumkan fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 29 Mac 2026 dan berterusan sehingga Mei 2026, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2025/2026 yang bermula sejak 13 November lalu.
Sepanjang tempoh Peralihan Monsun, negara dijangka menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir.
Keadaan itu lazimnya membawa kepada hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan pedalaman barat Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak.









