Peralihan monsun 29 Mac, MetMalaysia beri amaran ribut petir dan banjir kilat

25 Mac 2026, 4:48 AM
Peralihan monsun 29 Mac, MetMalaysia beri amaran ribut petir dan banjir kilat

SHAH ALAM, 25 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Fasa Peralihan Monsun bermula 29 Mac ini dan berterusan hingga Mei depan.

Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula sejak 13 November lalu.

“Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.

“Keadaan ini boleh menggalakkan pembentukan ribut petir yang lazimnya membawa kepada kejadian hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh masa yang singkat.

“Ini boleh berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Hisham, fenomena cuaca berkenaan berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.