Kenaikan diesel: Selangor, KPDN giat pantau harga barang, lindungi pengguna

25 Mac 2026, 11:11 AM
Kenaikan diesel: Selangor, KPDN giat pantau harga barang, lindungi pengguna
Kenaikan diesel: Selangor, KPDN giat pantau harga barang, lindungi pengguna
Kenaikan diesel: Selangor, KPDN giat pantau harga barang, lindungi pengguna

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Selangor mempergiat pemantauan harga barangan di seluruh negeri susulan kenaikan harga diesel bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.

EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail berkata, operasi pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di pasar awam, premis runcit serta pusat pengedaran.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan kos yang tidak wajar.

“Kerajaan Negeri amat memahami kegelisahan rakyat berhubung kenaikan harga diesel yang boleh memberi kesan langsung kepada kos sara hidup serta harga barangan keperluan harian," katanya menerusi kenyataan kepada Media Selangor.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut akan memperkukuh saluran aduan rakyat serta mengambil tindakan segera terhadap sebarang isu kenaikan harga yang membebankan pengguna.

EXCO Pengguna, Datuk Rizam Ismail. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Dalam masa sama, katanya usaha memperluas bantuan dan intervensi bersasar akan dipertingkatkan khususnya bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Rizam yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tawar turut menyeru peniaga dan pembekal supaya bertanggungjawab dalam memastikan kestabilan harga serta bekalan barangan.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus komited berada di sisi rakyat serta memastikan setiap langkah yang dilaksanakan memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat.

“Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa rakyat tidak akan dibiarkan menanggung beban kenaikan kos secara bersendirian.

"Kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap pertimbangan dasar dan tindakan yang diambil,” katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, beberapa jenis sayur-sayuran didapati mengalami kenaikan harga susulan cuaca panas melanda negara selain kenaikan bahan bakar diesel semasa.

Antara sayuran yang mengalami kenaikan harga adalah daun bawang, pegaga, ulam raja, limau nipis, bendi dan kacang buncis.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.