Belanjawan Selangor 2027: KDEBWM mohon RM2 juta sebulan tampung kos diesel

8 Okt 2026, 11:00 AM
Belanjawan Selangor 2027: KDEBWM mohon RM2 juta sebulan tampung kos diesel
Belanjawan Selangor 2027: KDEBWM mohon RM2 juta sebulan tampung kos diesel

SHAH ALAM, 8 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) berharap Kerajaan Negeri mempertimbangkan bantuan kewangan RM2 juta sebulan menerusi Belanjawan Selangor 2027 bagi menampung kenaikan kos diesel.

Pengarah Urusannya, Dato' Ramli Mohd Tahir berkata, bantuan berkenaan penting bagi mengurangkan beban kos operasi KDEBWM dan subkontraktor susulan kenaikan harga diesel yang menyebabkan tambahan perbelanjaan hampir RM4 juta sebulan.

"Kita terpaksa menanggung tambahan perbelanjaan hampir RM4 juta sebulan bagi keseluruhan operasi KDEB susulan kenaikan harga diesel.

"Kalau tidak dapat RM4 juta, mungkin Menteri Besar boleh pertimbangkan RM2 juta sebulan untuk kita salurkan kepada semua subkontraktor bagi membantu menangani kenaikan kos diesel ini," katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, bantuan itu juga dapat memastikan perkhidmatan kutipan sampah di seluruh Selangor diteruskan seperti biasa tanpa menjejaskan tahap kebersihan negeri.

Ramli berkata, permohonan bantuan berkenaan sudah dibincangkan bersama Kerajaan Negeri dan pihaknya diminta menunggu pembentangan Belanjawan Selangor 2027.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Kita sudah berbincang dengan Kerajaan Negeri dan dimaklumkan supaya menunggu pembentangan belanjawan.

"Kita sudah beberapa bulan memohon bantuan ini. Kalau dapat dibantu, alhamdulillah kerana ia dapat membantu KDEB meneruskan operasi dengan lebih baik," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap Belanjawan Selangor 2027 turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri, menarik pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Katanya, langkah mengawal kenaikan harga barangan serta meneruskan inisiatif kebajikan rakyat juga perlu diberi perhatian bagi membantu meringankan beban kos sara hidup.

"Perkara paling penting adalah bagaimana Kerajaan Negeri dapat memastikan ekonomi Selangor terus berkembang dengan baik, pelaburan masuk, peluang pekerjaan diwujudkan dan harga dapat dikawal.

"Bagi pihak KDEB, kita berharap ada bantuan kewangan untuk menampung kenaikan harga diesel supaya operasi dapat diteruskan dengan lebih baik dan Selangor kekal bersih," katanya.

Lori Roll-On Roll-Off (RORO) khas ini digunakan sepenuhnya untuk mengutip barangan kitar semula seperti plastik, kertas, tin, kadbod dan kotak minuman. Foto KDEB Waste Management (KDEBWM)

Sebelum ini, Ramli dilaporkan berkata sebanyak 800 lori Roll-On Roll-Off (RORO) yang digunakan KDEBWM tidak menerima subsidi diesel, sekali gus meningkatkan beban kos operasi syarikat.

Pada Jun lalu, Kerajaan Persekutuan mengumumkan penambahbaikan mekanisme subsidi diesel yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026, termasuk peluasan kelayakan kepada kategori kenderaan tertentu serta semakan kuota di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Bagaimanapun, belum terdapat pengumuman rasmi yang mengesahkan peluasan kelayakan subsidi diesel kepada lori RORO.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.