SHAH ALAM, 19 MAC: Surah Al-Mulk ayat ke-29 mengingatkan umat Islam agar sentiasa bersangka baik terhadap Allah khususnya ketika berdepan ujian dan musibah.
Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ayat berkenaan mengingatkan bahawa Allah ialah Ar-Rahman, tuhan yang maha pengasih, tempat manusia beriman dan berserah diri.
“Kasih sayang Allah itu pasti bagi orang yang beriman. Ini adalah motivasi kepada kita orang yang beriman. Yang penting keimanan kita itu mutlak.
“Bersangka baik. Surah al-Mulk ini, dalam kita bicara tentang azab neraka yang pedih, tidak tergambar kepedihannya tapi di hujung-hujung ini Allah akhiri mesti tetap dengan sangka baik kepada Allah. Sangka baik itu kita buktikan dengan bertawakal kepada Allah,” kata Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi.
Ayat berkenaan dibacakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan bimbingan Dr Ahmad Fakhrurrazi menerusi program Tadabbur al-Quran 30 Hari 30 Ayat sempena Ramadan.
Menurut Dr Ahmad Fakhrurrazi, asas keimanan perlu diperkukuhkan melalui penguasaan ilmu fardu ain merangkumi akidah, feqah dan tasawuf seperti digariskan dalam hadis Jibril dan mereka yang mengabaikan asas tersebut berisiko terjerumus dalam kesesatan yang nyata.
Sebagai penutup kupasan, Amirudin menegaskan bahawa keimanan sebenar bukan hanya diuji ketika senang, tetapi ketika seseorang berada dalam kesusahan dan kegundahan dengan keyakinan bahawa setiap ketentuan-Nya pasti mengandungi hikmah dan rahmat buat orang beriman.
“Di penghujung Ramadan ini, semoga ayat ini menjadikan kita hamba yang lebih tenang, lebih yakin dan lebih kuat bergantung harap kepada Allah SWT dalam setiap keadaan,” katanya.






