Surah al-Mulk ingatkan tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah (VIDEO)

10 Mac 2026, 10:16 AM
Surah al-Mulk ingatkan tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah (VIDEO)

SHAH ALAM, 10 MAC: Surah al-Mulk ayat ke-20 mengingatkan bahawa tiada kekuatan lain yang mampu membantu manusia selain dengan izin Allah SWT.

Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi, berkata jika seseorang berusaha untuk patuh kepada Allah sepenuhnya berdasarkan petunjuk-Nya, maka Allah akan menyelamatkan dan membantu hamba-Nya.

“Pada ayat 20, Allah menekankan sifat-Nya sebagai Ar-Rahman, bermakna tiada sesiapa pun yang dapat menandingi-Nya. Allah adalah penguasa segala kerajaan di muka bumi ini, maka tiada siapa mampu melawan-Nya.

“Jika Allah membantu kita, siapakah lagi yang mampu menewaskan kita? Ini adalah pengajaran penting, terutama ketika kita berada dalam sepuluh malam terakhir Ramadan, agar lebih bersandar dan bergantung sepenuhnya kepada Allah dalam beribadah,” jelasnya.

Ayat berkenaan dibacakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan bimbingan Dr Ahmad Fakhrurrazi menerusi program Tadabbur al-Quran 30 Hari 30 Ayat sempena Ramadan.

Selain itu, Dr Ahmad Fakhrurrazi menekankan bahawa sifat Allah sebagai Ar-Rahman menunjukkan tiada kuasa lain yang mampu menandingi-Nya.

“Allah adalah penguasa seluruh kerajaan di muka bumi. Jika Allah membantu kita, tidak ada sesiapa yang dapat menewaskan kita. Pertolongan Allah adalah yang paling pasti dan tiada tandingannya,” tambah beliau lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.