SHAH ALAM, 11 MAC: Umat Islam diseru merenung hakikat rezeki dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT melalui penghayatan Surah Al-Mulk ayat 21.
Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi berkata ayat tersebut mengajak manusia berfikir apabila Allah SWT bertanya siapakah lagi yang mampu memberi rezeki sekiranya Dia menahan rezeki daripada hamba-Nya.
“Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, akan diberi jalan keluar maka kita tidak perlu mencari rezeki, ini secara jalan tadabbur, tetapi tidak bermaksud meninggakalkan usaha, bebanan kepada kita bukan mencari rezeki.
“Dalam ayat ini Allah mengingatkan bahawa hanya Dia yang memberi rezeki. Jika Allah menahannya, tiada siapa yang mampu menggantikannya,” katanya.
Ayat berkenaan dibacakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan bimbingan Dr Ahmad Fakhrurrazi menerusi program Tadabbur al-Quran 30 Hari 30 Ayat sempena Ramadan.
Menurut beliau, golongan kafir digambarkan dalam ayat tersebut sebagai terus menerus berpaling daripada kebenaran walaupun peringatan telah diberikan. Mereka kekal dengan sikap sombong dan ingkar terhadap perintah Allah.
Dr Ahmad Fakhrurrazi berkata orang beriman sepatutnya meletakkan pergantungan penuh kepada Allah kerana jaminan rezeki datang daripada-Nya.
“Allah sebenarnya tidak menyuruh manusia mengejar rezeki semata-mata, sebaliknya menuntut kita supaya bertakwa. Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Dia akan memberikan jalan keluar.
“Orang bertakwa itu penyerahan dan pergantungan kepada Allah dalam segala sama ada, menzahirkan ketakwaan dengan amal soleh seperti mana kita pada 20 malam terakhir pada bulan Ramadan, itula perihal orang beriman,” jelasnya.






