Jangan lalai janji Allah, peringatan Surah Al-Mulk tentang azab akhirat (VIDEO)

17 Mac 2026, 1:25 PM
Jangan lalai janji Allah, peringatan Surah Al-Mulk tentang azab akhirat (VIDEO)

SHAH ALAM, 17 MAC: Umat Islam diingatkan supaya sentiasa meyakini bahawa, janji Allah SWT adalah benar serta tidak memandang ringan peringatan berkaitan hari kiamat dan pembalasan di akhirat.

Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi berkata ayat ke-27 Surah Al-Mulk menggambarkan keadaan golongan ingkar apabila berhadapan dengan azab yang dijanjikan selepas ia benar-benar berlaku.

Menurut beliau, ayat tersebut menjelaskan apabila azab semakin hampir, wajah orang yang tidak percaya berubah menjadi muram, hina dan dipenuhi ketakutan sebagai tanda penyesalan yang tidak terhingga terhadap perbuatan mereka di dunia.

"Keadaan itu merupakan balasan terhadap sikap mereka yang sebelum ini memperolok-olokkan Nabi SAW, memperlekehkan peringatan agama serta mempersoalkan kebenaran janji Allah SWT dan hari kiamat," katanya.

Terdahulu, ayat berkenaan dibacakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dengan bimbingan Dr Ahmad Fakhrurrazi menerusi program Tadabbur Al-Quran 30 Hari 30 Ayat bersama Dato' Seri Amirudin Shari sempena Ramadan.

Dr Ahmad Fakhrurrazi berkata, ayat tersebut turut menegaskan azab di akhirat bukan sahaja melibatkan penderitaan fizikal, malah turut menghimpit emosi dan jiwa, sekali gus menggambarkan balasan yang menyeluruh tanpa sebarang kelegaan.

"Wajah mereka menjadi muram sebagai gambaran penderitaan yang amat dahsyat. Dalam tafsir, kemuraman itu membawa maksud kesengsaraan yang memuncak sehingga wajah mereka kelihatan buruk, hina dan tidak sanggup dipandang," katanya.

Beliau menegaskan, azab neraka adalah bersifat menyeluruh melibatkan jasad dan jiwa, malah lebih dahsyat daripada apa yang mampu digambarkan oleh akal manusia.

Sehubungan itu, umat Islam diseru agar tidak terjebak dengan sikap ingkar sama ada secara terang-terangan mahupun secara halus seperti sindiran, ejekan dan keraguan yang dizahirkan dalam kehidupan seharian termasuk di media sosial.

"Setiap bentuk penghinaan atau keraguan terhadap agama tidak akan terlepas daripada pengetahuan Allah SWT dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak," katanya.

Sementara itu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Surah Al-Mulk memberi peringatan supaya tidak menangguhkan taubat sebaliknya kembali kepada Allah SWT selagi pintu taubat masih terbuka.

"Apabila janji Allah SWT benar-benar berlaku, barulah wajah mereka berubah penuh ketakutan dan penyesalan. Ayat ini mengajar kita supaya sentiasa beringat janji Allah itu benar, Qada dan Qadar-Nya tepat serta hari kiamat pasti berlaku.

"Malah dalam hadis Jibril, umat Islam diingatkan tentang iman, Islam dan ihsan termasuk keyakinan terhadap hari akhirat serta hakikat bahawa setiap amalan baik dan buruk akan dihitung," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.