MELAKA, 19 MAC: Polis menahan seorang lelaki yang didakwa memukul isterinya yang sedang hamil di sebuah rumah di Taman Seri Kemendor, Jasin hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata suspek berumur 22 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Unit D8 dan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kira-kira 11 pagi tadi.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta untuk menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
"Polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Selasa lepas, media melaporkan polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai memukul isterinya yang sedang hamil dalam kejadian di sebuah pusat karaoke di Kota Shahbandar, di sini pada Ahad.








