Polis tahan lelaki disyaki curi dompet di Cheras

12 Nov 2026, 6:06 AM
Polis tahan lelaki disyaki curi dompet di Cheras

SHAH ALAM, 12 NOV: Polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun kerana disyaki mencuri dompet milik seorang lelaki di kawasan Taman Rakan, Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata suspek ditahan kira-kira jam 10 malam hasil maklumat dan risikan sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 28 tahun pada jam 10.15 pagi selepas menyedari dompet yang disimpan di dalam kenderaannya hilang kira-kira jam 8 pagi.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki tidak dikenali memasuki kawasan rumah mangsa sebelum mengambil dompet yang mengandungi kad pengenalan serta kad ATM dan debit miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata polis turut merampas sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dan topi keledar berwarna hitam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

Beliau berkata suspek dibawa ke Mahkamah Kajang hari ini dan direman selama sehari bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mohamad Zamri Mohamad Nor menerusi talian 010-284 8761 bagi membantu siasatan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.