MASMELON dipilih nama rasmi melon lembut premium Selangor

19 Mac 2026, 11:00 AM
MASMELON dipilih nama rasmi melon lembut premium Selangor
MASMELON dipilih nama rasmi melon lembut premium Selangor
MASMELON dipilih nama rasmi melon lembut premium Selangor

SHAH ALAM, 19 MAC: Melon lembut premium yang dihasilkan di Selangor menerusi inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian kini secara rasmi dikenali sebagai MASMELON.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata pemilihan nama itu dibuat berdasarkan cadangan orang awam yang diterima menerusi ruangan komen serta mesej peribadi di Facebook beliau.

Menurutnya, beberapa nama lain turut dipilih sebagai pemenang saguhati antaranya Melova, Melon Sudu Emas dan Melon Mas Selangor.

“Nama yang dipilih akan digunakan secara rasmi dan pemenang akan menerima ganjaran berupa hadiah misteri daripada saya,” katanya ketika mengumumkan keputusan tersebut menerusi siaran langsung di TikTok.

Izham sebelum ini memaklumkan pada 28 Februari lalu bahawa Kerajaan Negeri terus mencatat pencapaian dalam sektor agromakanan dengan kejayaan menghasilkan varieti melon lembut melalui inisiatif R&D.

Beliau menjelaskan penghasilan varieti baharu itu merupakan langkah strategik bagi memodenkan industri pertanian negeri, di samping meningkatkan nilai komersial hasil tempatan serta memperkukuh daya saing di pasaran.

Sebelum ini, pengenalan melon premium MeloSel (Melon Selangor) terbukti meningkatkan pendapatan petani apabila dijual sekitar RM15 sekilogram berbanding melon biasa yang hanya kira-kira RM4 sekilogram.

Bagaimanapun, varieti berkenaan masih terhad di pasaran berikutan tahap produktiviti yang rendah.

Ketika ini, tanaman melon premium Selangor diusahakan secara komersial di Kampung Endah, Kuala Langat melibatkan kira-kira 10,000 pokok dan disasarkan meningkat kepada 30,000 pokok bagi memenuhi permintaan domestik yang semakin meningkat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.