Surah Al-Mulk ingatkan azab umat terdahulu bukan kisah dongeng (VIDEO)

8 Mac 2026, 11:01 AM
Surah Al-Mulk ingatkan azab umat terdahulu bukan kisah dongeng (VIDEO)

SHAH ALAM, 8 MAC: Surah Al-Mulk ayat 18 mengingatkan umat Islam bahawa azab yang menimpa umat terdahulu bukan sekadar kisah dongeng, sebaliknya peringatan nyata terhadap akibat keingkaran kepada Allah SWT.

Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi berkata perkara itu dapat dilihat melalui kisah Ashabul Rass, iaitu sisa kaum Tsamud yang menerima balasan kerana terus ingkar terhadap perintah Allah.

Menurutnya, kisah tersebut menjadi pengajaran kepada umat manusia agar tidak mengulangi kesilapan sama dengan menolak kebenaran yang dibawa para rasul.

“Allah SWT mudah menjatuhkan azab kepada sesiapa yang ingkar. Kisah umat terdahulu memberi kita teladan supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama.

“Membaca Surah Al-Mulk setiap malam sebelum tidur seharusnya disertai kesedaran betapa beruntungnya kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

“Segala azab, bencana dan kehancuran yang berlaku kepada umat terdahulu tertangguh kepada kita semata-mata kerana syafaat Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Terdahulu, ayat berkenaan dibacakan oleh Dato’ Menteri Besar dengan bimbingan Ahmad Fakhrurrazi menerusi program Tadabbur al-Quran 30 Hari 30 Ayat bersama Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan.

Dalam pada itu, Ahmad Fakhrurrazi turut memaklumkan ayat 18 merupakan kesinambungan yang menegaskan kebenaran azab Allah SWT selepas ayat 17 menyentuh ancaman dari langit manakala ayat 16 pula berkaitan ancaman dari bumi.

Sebagai penutup kupasan, Amirudin menegaskan bahawa umat Islam hari ini diberikan kasih sayang Allah SWT serta peluang untuk memperbetulkan kesilapan, bertaubat dan memohon ampun bagi setiap kegagalan dan kesilapan yang dilakukan.

“Terdapat tiga perkara yang dianggap sia-sia, antaranya apabila seseorang melalui Ramadan dari awal hingga ke penghujungnya, namun tidak memperoleh keampunan daripada Allah SWT.

“Oleh itu, umat Islam digalakkan mengambil iktibar daripada sejarah umat terdahulu, memperbaiki diri, menjauhi perbuatan mungkar dan menghargai rahmat Allah SWT.

“Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang sedar akan amaran dan kasih sayang Allah SWT serta sentiasa bertaubat dan memperbaiki diri sebagai hamba dan umat Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.