Konflik global: Sultan seru rakyat berhati-hati berbelanja, sedia hadapi ketidaktentuan ekonomi

19 Mac 2026, 7:40 AM
Konflik global: Sultan seru rakyat berhati-hati berbelanja, sedia hadapi ketidaktentuan ekonomi
Konflik global: Sultan seru rakyat berhati-hati berbelanja, sedia hadapi ketidaktentuan ekonomi
Konflik global: Sultan seru rakyat berhati-hati berbelanja, sedia hadapi ketidaktentuan ekonomi
Konflik global: Sultan seru rakyat berhati-hati berbelanja, sedia hadapi ketidaktentuan ekonomi

SHAH ALAM, 19 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat bersedia menghadapi sebarang ketidaktentuan, termasuk kesan ekonomi susulan perkembangan global semasa, khususnya konflik yang melanda Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Barat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah konflik dan peperangan yang berlaku memberi impak besar kepada umat Islam di seluruh dunia, justeru setiap rakyat diseru supaya berhati-hati dalam berbelanja.

“Beta dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dengan limpah kurnianya dapat kita menyambut Aidilfitri dalam suasana yang aman dan sentosa.

“Justeru, ke arah mendepani sebarang ketidaktentuan khususnya impak kepada ekonomi, Beta menyeru agar setiap rakyat bersedia dengan apa jua kemungkinan termasuk berhati-hati dalam berbelanja, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’,” titah Baginda perutusan sempena Aidilfitri 1447H.

Baginda berharap umat Islam meraikan Syawal dengan penuh rasa syukur, kegembiraan serta semangat ukhuwah setelah sebulan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Baginda turut menyeru umat Islam terus memperkukuh kesatuan dan perpaduan, mengelak sebarang pertelingkahan serta menjadikan apa yang berlaku di luar negara sebagai pedoman.

“Kita seharusnya bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala, namun kita tidak boleh leka dan lalai.

“Beta berharap seluruh rakyat jelata daripada peringkat pemimpin, ahli politik sehinggalah kepada rakyat biasa, memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri dan memakmurkan negara,” titah Baginda.

Dalam titah perutusan itu, Sultan Sharafuddin juga menitipkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Selangor khususnya dan Malaysia amnya.

“Semoga sambutan Aidilfitri ini membawa keberkatan, kebahagiaan dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” titah Baginda.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.