SHAH ALAM, 19 MAC: Seramai 825 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) kelahiran 2008 menerima manfaat RM1,500, dengan jumlah keseluruhan pembayaran melebihi RM1.23 juta setakat kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) Gan Pei Nei berkata bayaran fasa pertama diberikan kepada mereka yang lahir antara Januari hingga Mac 2008 melalui pemindahan dana elektronik (EFT) dan e-dompet sejak 15 Mac.

“Untuk mereka yang lahir pada Januari, Februari dan Mac 2008, keseluruhan penerima fasa ini adalah 1,651 orang dengan jumlah lebih kurang RM2.4 juta, secara berperingkat bermula 15 hingga 30 Mac,” katanya kepada Media Selangor.
Pei Nei menjelaskan penyaluran manfaat TAWAS dilakukan secara berperingkat mengikut empat fasa berdasarkan bulan kelahiran penerima dengan mengemukakan tuntutan lebih awal bagi mengelakkan kelewatan.
“Syarat utama untuk penerima manfaat ini adalah bila mereka mencapai umur 18 tahun. Jadi penyaluran dibuat mengikut tarikh kelahiran mereka.
"Contohnya, bagi yang lahir pada April dan seterusnya, penyaluran akan dibuat pada fasa kedua mengikut bulan kelahiran masing-masing,” katanya.
Menurut Pei Nei, seramai 21,295 ahli TAWAS kelahiran 2008 layak menerima RM1,500 tahun ini dan penerima mempunyai tempoh setahun untuk membuat tuntutan.
“TAWAS merupakan satu tabung amanah yang diwujudkan bagi menyokong pembangunan generasi masa depan di Selangor. Jika tuntutan tidak dibuat dalam tempoh ditetapkan, ia akan diserahkan kepada keputusan Kerajaan Negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau turut menekankan ibu bapa atau penjaga menyemak maklumat terkini dan membuat permohonan melalui laman web rasmi YAWAS atau aplikasi yang disediakan supaya penyaluran manfaat dapat dibuat dengan lebih cepat dan lancar.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan TAWAS membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa generasi muda dan memastikan setiap anak Selangor mendapat permulaan kehidupan yang stabil.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, TAWAS yang diperkenalkan sejak 2008 mula menunjukkan hasil apabila anak-anak yang pernah menerima manfaat Program Bantuan Masuk Sekolah semasa Tahun Satu kini menerima wang tersebut selepas mencapai umur 18 tahun.











