SHAH ALAM, 19 MAC: Larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik sempena Aidilfitri tahun ini akan dikuatkuasakan pada 19 dan 20 Mac serta 28 dan 29 Mac.
Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan langkah itu bertujuan melancarkan aliran trafik, mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan perjalanan pulang ke kampung lebih selesa dan selamat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Pelaksanaan larangan ini mengambil kira keseimbangan antara kelancaran trafik dan keperluan operasi kritikal.
“Orang ramai digalakkan merancang perjalanan dengan teliti serta mematuhi peraturan demi keselamatan bersama,” menurut MOT menerusi hantaran di Facebook.
Dalam hantaran berasingan, kementerian itu menjelaskan beberapa kategori kenderaan berat dibenarkan beroperasi pada waktu terhad, termasuk lori kontena dan kargo dari jam 8 pagi hingga 8 malam.
Kenderaan pembinaan pula dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 6 petang dalam radius 25 kilometer.
Menurut MOT, pengecualian turut diberikan kepada perkhidmatan kritikal seperti operasi kecemasan, pengangkutan dari pelabuhan dan lapangan terbang serta bekalan keperluan asas.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen MOT dalam memastikan keselamatan dan kelancaran trafik tanpa menjejaskan operasi penting negara,” katanya.









