Lebaran tanpa mercun lebih harmoni, rai Aidilfitri dengan silaturahim - Felo UKM

28 Mac 2026, 3:00 AM
Lebaran tanpa mercun lebih harmoni, rai Aidilfitri dengan silaturahim - Felo UKM
Lebaran tanpa mercun lebih harmoni, rai Aidilfitri dengan silaturahim - Felo UKM
Lebaran tanpa mercun lebih harmoni, rai Aidilfitri dengan silaturahim - Felo UKM

SHAH ALAM, 27 MAC: Sambutan Aidilfitri sering dikaitkan dengan bunyi mercun dan letupan bunga api, namun pakar menegaskan tradisi ini bukan sebahagian daripada budaya Melayu sebenar.

Malah, Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata ia hanya membawa risiko tinggi dan boleh menjejaskan keharmonian perayaan.

Dr Mohd Faizal Musa menekankan bahawa mercun hanyalah pengaruh luar yang kini menjadi kebiasaan dalam masyarakat moden setiap kali menyambut lebaran.

Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Mohd Faizal Musa ketika ditemubual di kediamannya di Alam Sari, Bangi pada 5 September 2025. Foto HANAFI MOHAMED/MEDIA SELANGOR

“Kemeriahan yang dikaitkan dengan mercun tidak mencerminkan nilai sebenar Aidilfitri, yang lebih menekankan silaturahim dan keharmonian,” katanya kepada Media Selangor.

Dr Mohd Faizal, yang lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani, menjelaskan bahawa mercun pernah diharamkan pada 1970-an.

Menurutnya, dalam lagu klasik Selamat Hari Raya nyanyian Allahyarhamah Puan Sri Saloma, bahagian bunyi mercun turut diharamkan kerana dianggap mempromosikan penggunaannya.

"Di Singapura pun pernah diharamkan mercun dan ia diceritakan menerusi Syair Kampong Gelam Terbakar akibat mercun sehingga kerajaan British panik dan mengharamkan terus mercun ketika itu.

"Ini menunjukkan mercun bukan elemen wajib dalam sambutan perayaan, apatah lagi dalam konteks masyarakat Malaysia yang kini semakin urban dan padat," katanya.

Walaupun menjadi tradisi yang menceriakan suasana, penggunaan mercun perlu dikawal agar tidak mengganggu komuniti, khususnya pada waktu malam. Foto AI (gambar hiasan)

Menurut beliau, penggunaan mercun pada masa kini membawa risiko serius termasuk kebakaran, kecederaan dan gangguan ketenteraman awam.

Katanya, kemeriahan yang berpaksikan bunyi dan letupan bukan sahaja tidak membawa makna sebenar Aidilfitri, malah boleh menjurus kepada pembaziran.

Sebaliknya, Faizal mengesa masyarakat kembali menghayati nilai asal perayaan dengan menziarahi sanak saudara, bermaaf-maafan, dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Sebagai langkah keselamatan, beliau mencadangkan agar penggunaan bunga api dikawal sepenuhnya dan hanya dibenarkan oleh pihak berkuasa semasa acara rasmi bagi mengelakkan risiko serta gangguan kepada orang lain.

“Dalam kawasan perumahan padat, mercun bukan sahaja membahayakan, malah boleh mencetuskan konflik kejiranan.

”Sudah tiba masanya kita ubah cara beraya bukan bergantung kepada mercun, tetapi memberi fokus kepada keharmonian, kebersamaan dan nilai kemanusiaan,” katanya.

Polis menerima sebanyak 6,526 permohonan bagi mendapatkan lesen menjual bunga api dan mercun di seluruh negara sempena perayaan Aidilfitri pada 2023 (gambar hiasan). Foto BERNAMA

Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Kerajaan Tempatan menyemak semula tatacara operasi standard (SOP) gerai jualan bunga api sementara di seluruh negara.

Arahan itu susulan beberapa insiden kebakaran gerai jualan bunga api dilaporkan di beberapa lokasi termasuk Georgetown, Pulau Pinang dan Johor Bahru yang mengakibatkan kerosakan harta benda.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.