SHAH ALAM, 18 MAC: Surau Nurul Imam di Taman Seruling, Kuala Kubu Bharu menerima sumbangan karpet baharu bernilai RM20,000 bagi meningkatkan keselesaan jemaah setempat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao berkata usaha menaik taraf kemudahan surau itu dilaksanakan bagi memastikan keselesaan jemaah terus terjamin, khususnya dalam menunaikan ibadah serta menjalankan aktiviti komuniti.
"Melalui Projek Selangor Penyayang, sebanyak RM20,000 diperuntukkan bagi pembekalan karpet baharu di Surau Nurul Imam.
"Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kemudahan ibadah sentiasa selesa dan terjaga," katanya kepada Media Selangor.
Menurut beliau, selain pembekalan karpet baharu, surau berkenaan turut menerima penambahbaikan lain termasuk pemasangan pagar baharu serta kerja-kerja pembaikan jubin lantai hasil sumbangan orang ramai.
"Saya amat gembira melihat keadaan surau yang semakin baik hasil penambahbaikan yang dilaksanakan. Ini membuktikan semangat kerjasama dan keprihatinan penduduk setempat dalam memastikan keselesaan para jemaah terus terpelihara.
"Semangat kebersamaan ini amat penting, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mengajar kita untuk saling membantu dan berkongsi rezeki," ujarnya.
Tambah beliau, inisiatif tersebut diharap dapat menjadikan Surau Nurul Imam terus berperanan sebagai pusat ibadah dan pengukuhan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
"Diharapkan dengan kemudahan yang lebih selesa ini, Surau Nurul Imam akan terus menjadi tumpuan penduduk untuk beribadah serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti," katanya lagi.








