Sharifah Shahirah pilih raya sederhana, keluarga tetap keutamaan

22 Mac 2026, 4:00 AM
Sharifah Shahirah pilih raya sederhana, keluarga tetap keutamaan

SHAH ALAM, 22 MAC: Bagi kebanyakan orang, Aidilfitri sinonim dengan persiapan meriah seperti pakaian baharu, juadah istimewa dan rumah dihias indah bagi menyambut tetamu.

Namun bagi selebriti terkenal Sharifah Shahirah, kesederhanaan menjadi pilihan asalkan dapat berkumpul bersama keluarga tercinta.

Penyampai radio terkenal itu berkata beliau dan keluarga memilih untuk mengenakan pakaian sedia ada yang masih elok berbanding membeli yang baharu.

“Orang kata sekurang-kurangnya perlu ada satu baju baharu. Tetapi bagi saya, hampir setiap hari saya sudah membeli baju untuk program yang memerlukan saya berjumpa orang.

“Bukan hendak membazir sebab (baju) benda elok lagi. Jadi saya, apa yang ada esok itulah yang akan dipakai,” katanya ketika ditemui Media Selangor pada Program Infak Kasih Ramadan 2.0 di Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah, di sini.

Selebriti terkenal Sharifah Shahirah (tengah... tiga dari kanan) berkumpul bersama keluarga tercinta di Aidilfitri pada tahun lalu. Foto IG Shieraijoy

Menurutnya, sambutan Aidilfitri tidak perlu berlebihan, sebaliknya apa yang penting adalah keselesaan tetamu yang datang berkunjung.

"Tidak perlu berhias mewah kerana selagi orang boleh duduk dengan selesa dan dapat berteduh dari hujan, itu sudah memadai,” katanya.

Cabaran urus persiapan di sebalik kesibukan

Dalam pada itu, Sharifah Shahirah mengakui kesibukan sebagai selebriti menyebabkan persiapan rumah tidak dapat dilakukan sepenuhnya tahun ini.

“Cabaran saya tahun ni, Ya Allah, saya banyak benda tak dapat siapkan di rumah sebab sebagai artis banyak jemputan di luar, banyak kerja di luar. Sampai rumah saya tak berkemas,” katanya.

Beliau turut menjelaskan jadual kerja yang padat mungkin mengehadkan masa untuk melayan tetamu seperti kebiasaan.

“Tetamu tidak berhenti berkunjung dari pagi sampai petang. Tahun ini saya perlu masuk kerja lebih awal, kemungkinan tak dapat meluangkan masa dengan tetamu,” katanya.

Selebriti dan aktivis komuniti, Sharifah Shahirah bercakap kepada media selepas program Infaq Kasih Ramadan 2.0 anjuran Sekolah Al-Amin Darul Mustofa di Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah, Denai Alam, Shah Alam pada 12 Mac 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Namun begitu, beliau tetap berharap dapat meluangkan masa bersama keluarga walaupun jadual kerja agak padat.

“Yang penting semua keluarga ada. Itu sudah cukup bermakna bagi saya,” katanya.

Didik anak fahami amalan infak

Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan mendidik anak-anak mengenai amalan memberi melalui infak sejak kecil.

Menurutnya, sebagai ibu beliau sering mengingatkan anak-anak supaya tidak bersikap tamak dan belajar berkongsi rezeki dengan orang lain.

“Benda yang kita sayang itu, kita bagi kepada orang lain supaya orang lain boleh ambil manfaat daripadanya,” katanya.

Tambahnya, sebagai seorang selebriti terdapat pakaian yang hanya dipakai sekali untuk sesuatu program dan masih dalam keadaan baik untuk disumbangkan.

Shahrifah Shahirah bersama suami dan anaknya, Auddra Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Odah. Foto IG Shieraijoy

“Saya sebagai selebriti, baju saya kadang-kadang pakai sekali sahaja. Tapi benda yang kita sayang itu saya kata amalkan bagi kepada orang lain,” katanya.

Selain itu, beliau turut menggalakkan anak-anak berusaha sendiri sebelum berkongsi rezeki dengan orang lain.

“Saya ajar anak-anak, awak rajin pergi jual barang dengan harga murah. Lepas itu kalau dapat duit dan tak nak guna, awak bagi kepada orang lain. Itu usaha awak sendiri,” katanya.

Menurutnya, amalan memberi bukan sahaja membantu golongan memerlukan, malah memberi kepuasan kepada individu yang melakukannya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.