Kos petrol: Cadangan kerja dari rumah boleh dipertimbang, tidak semua sektor sesuai

16 Mac 2026, 5:22 AM
Kos petrol: Cadangan kerja dari rumah boleh dipertimbang, tidak semua sektor sesuai

SHAH ALAM, 16 MAC: Cadangan bekerja dari rumah (BDR) bagi menangani kenaikan kos petrol susulan konflik Asia Barat wajar diteliti secara menyeluruh sebelum dilaksanakan.

EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berkata walaupun cadangan tersebut dilihat sebagai langkah positif, pelaksanaannya tidak sesuai untuk semua sektor kerana terdapat pekerjaan yang memerlukan kehadiran fizikal.

“Sebagai contoh, guru perlu mengajar pelajar secara bersemuka di bilik darjah untuk memastikan proses pembelajaran berjalan dengan efektif dan interaksi antara guru serta pelajar dapat dijalankan dengan baik.

“Justeru, tidak semua sektor sesuai atau boleh melaksanakan BDR dan buat masa ini tiada keperluan mendesak untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tetapi cadangan BDR masih boleh dikaji,” katanya ketika ditemui Media Selangor dalam satu program di sini hari ini.

EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Mohd Najwan Halimi bersama penerima sempena majlis penyampaian bantuan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) kepada pelajar di Sekolah Kebangsaan Shah Alam Seksyen 16 pada 16 Mac 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau menambah pelaksanaan PdPR juga perlu diteliti kerana pengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menunjukkan ia berpotensi menjejaskan keberkesanan proses pembelajaran pelajar.

Pada 12 Mac lalu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Mohd Kamil Abdul Munim mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan BDR secara bersasar bagi sektor tertentu.

Menurutnya, dasar itu boleh menjadi langkah proaktif untuk mengurangkan pergerakan harian rakyat sekali gus menjimatkan penggunaan petrol susulan kenaikan harga minyak dunia akibat ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Konflik di Asia Barat tercetus pada 28 Februari lalu apabila Amerika Syarikat melancarkan serangan terhadap Iran sebelum Tehran bertindak balas melalui serangan peluru berpandu dan dron terhadap kepentingan AS serta sekutunya di rantau berkenaan.

Ketegangan itu turut menjejaskan pasaran tenaga global apabila laluan strategik Selat Hormuz, yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia, terjejas susulan ancaman dan tindakan Iran yang menghalang laluan kapal di kawasan tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.