SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan waktu kerja lebih anjal termasuk bekerja dari rumah (BDR) secara berperingkat dalam sektor awam sebagai langkah menyesuaikan operasi dengan keadaan semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu akan dilaksanakan secara terpilih di jabatan kerajaan, selain menggesa sektor swasta turut mengikut langkah sama seperti yang diamalkan oleh beberapa syarikat korporat dan institusi kewangan.
“Kerajaan sedang meneliti langkah tambahan termasuk menetapkan peraturan kerja lebih anjal seperti bekerja dari rumah.
“Pejabat awam akan boleh secara berperingkat dan terpilih melaksanakan bekerja dari rumah, dan kita juga menggesa sektor swasta untuk melaksanakannya sebagaimana yang telah dilakukan oleh beberapa syarikat dan bank,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas berhubung langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, hari ini.
Menurut beliau, langkah itu merupakan sebahagian usaha kerajaan bagi memastikan kecekapan operasi terus terpelihara, selain mengekalkan disiplin serta mengelakkan pembaziran dalam perkhidmatan awam.
Pada masa sama, Anwar menegaskan kerajaan komited memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global.
“Kerajaan akan terus menjaga disiplin, mengelak keborosan dan ketirisan, serta memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun berdepan cabaran global,” katanya.
Beliau berkata Malaysia masih kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik dengan kemasukan pelabur asing yang berterusan.
“Jadi kita doakan, biar kekal negara ini aman. Biar rakyat, baik sektor awam dan swasta, bekerja secara gigih dan bersungguh-sungguh.
“Biar kita tingkatkan keupayaan ekonomi kita walaupun berdepan pelbagai ujian dan cabaran global,” katanya.








