SHAH ALAM, 17 MAC: Cadangan bekerja dari rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam tidak boleh dilaksanakan secara menyeluruh kerana terdapat sektor pekerjaan yang memerlukan kehadiran fizikal di lapangan.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata kaedah itu bagaimanapun berpotensi memberi manfaat termasuk membantu menjimatkan penggunaan bahan api selain mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Menurutnya, pelaksanaan kaedah berkenaan perlu diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan tugas bagi setiap sektor.
“Bekerja dari rumah memang boleh membantu penjimatan termasuk dari segi penggunaan bahan api. Namun apabila dilihat secara lebih mendalam, tidak semua sektor boleh melaksanakan kaedah ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Banting.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Ramadan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting, semalam.

Menurutnya, sebagai contoh tugas wartawan dan beberapa peranan dalam perkhidmatan awam memerlukan pegawai turun padang bagi mendapatkan maklumat atau memantau projek di lapangan.
“Ada pekerjaan yang memerlukan individu turun padang, menemubual pihak berkaitan atau hadir ke tapak projek. Perkara seperti ini tidak dapat dielakkan dan tidak boleh dilaksanakan sepenuhnya dari rumah,” katanya.
Tambah beliau, bagi sektor atau tugasan yang bersesuaian, pelaksanaan BDR boleh dipertimbangkan kerana mampu menjimatkan masa selain membantu meningkatkan keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan.
Namun katanya, sebarang dasar perlu dirangka dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan produktiviti serta keseluruhan sistem kerja sedia ada.
“Bekerja dari rumah itu baik, tetapi kita perlu memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan produktiviti serta struktur ekonomi dan sistem kerja yang ada,” katanya.
Papparaidu berkata kaedah tersebut sebelum ini terbukti berkesan ketika pandemik COVID-19, namun pelaksanaannya perlu disesuaikan mengikut situasi semasa.
Pada Jumaat, Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil berkata cadangan pelaksanaan kerja dari rumah bagi sektor awam akan diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet, hari ini.
Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Wan Abdul Aziz meneliti cadangan itu bagi memastikan beberapa perkara dapat diselaraskan.









