Tiada PdPR, sesi persekolahan berjalan seperti biasa - KPM

16 Mac 2026, 12:31 PM
Tiada PdPR, sesi persekolahan berjalan seperti biasa - KPM

SHAH ALAM, 16 MAC: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan sesi persekolahan di seluruh negara berjalan seperti biasa setakat ini dan tiada sebarang ketetapan dibuat berhubung pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, kementerian prihatin terhadap kegusaran masyarakat susulan berita tular mengenai kemungkinan pelaksanaan PdPR.

“KPM ingin memaklumkan bahawa pada masa ini, sesi persekolahan berjalan seperti biasa. Tiada sebarang ketetapan dibuat berkaitan pelaksanaan PdPR.

“Keutamaan KPM adalah untuk memastikan pembelajaran anak-anak tidak terjejas, serta pada masa sama aspek kebajikan dan kesejahteraan semua pihak terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohd Azam dilaporkan berkata KPM akan mengadakan perbincangan khusus bagi memperhalusi mekanisme Bekerja Dari Rumah (BDR), termasuk pelaksanaan PdPR dalam kalangan pelajar sekolah serta penjawat awam kementerian itu sekiranya dasar berkenaan diputuskan kerajaan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.

Pada Khamis lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel termasuk BDR dilihat sebagai antara langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan.

Menurutnya, langkah itu penting dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.

Ketegangan di Asia Barat dilaporkan meruncing sejak 28 Februari lalu susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, yang kemudian diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk.

Susulan itu, pada Rabu lalu, kerajaan sementara Thailand mengarahkan agensi persekutuan dan perusahaan milik negara yang bersesuaian melaksanakan dasar BDR sebagai langkah menjimatkan tenaga di tengah ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Pada Selasa lalu pula, kementerian perdagangan Vietnam menggesa perusahaan tempatan menggalakkan pekerja bekerja dari rumah sebagai usaha mengurangkan penggunaan bahan api susulan gangguan bekalan dan lonjakan harga akibat konflik Iran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.