SHAH ALAM, 16 MAC: Seramai 70 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting menerima kotak makanan sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Dewan Sungai Manggis, Kuala Langat, petang semalam.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada program kebajikan Kerajaan Negeri meringankan beban golongan memerlukan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Banting berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban perbelanjaan harian penerima serta membawa kegembiraan kepada mereka sekeluarga.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian, khususnya golongan yang memerlukan dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Majlis penyerahan turut dihadiri pimpinan masyarakat DUN Banting termasuk Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), ketua kampung, ketua komuniti India, wakil Pusat Wanita Berdaya (PWB) serta Sukarelawan Selangor (SUKA) DUN Banting.








