MPHS lulus pelan pembangunan berimpak tinggi, percepat proses pelaburan

15 Mac 2026, 7:26 AM
MPHS lulus pelan pembangunan berimpak tinggi, percepat proses pelaburan

SHAH ALAM, 15 MAC: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) meluluskan pelan pembangunan berimpak tinggi di bawah inisiatif High Speed Hulu Selangor, sebahagian daripada pelaksanaan MPHS 14 Flagship, sebagai usaha mempercepat proses pelaburan dan pembangunan di daerah itu.

Menurut hantaran MPHS di Facebook, inisiatif berkenaan memanfaatkan platform Industrial Green Lane (IGL) dalam Sistem OSC 3.0 Plus Online yang dipertingkat, membolehkan surat kelulusan dikeluarkan serta-merta sejurus tamat mesyuarat berkaitan.

"Selaras komitmen ini, Yang Dipertua MPHS Julaihah Jamaludin telah menandatangani surat kelulusan bagi Kebenaran Merancang, Pelan Bangunan, Pelan Kerja Tanah, dan Pelan Jalan Parit sejurus tamat Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pembangunan OSC hari ini.

"Pemaju juga ditawarkan untuk memohon lesen sementara pada peringkat ini, manakala lesen penuh dapat diberikan segera setelah Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) didepositkan,” menurut kenyataan itu.

MPHS turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi teknikal, ahli jawatankuasa OSC, Unit H2S, Bahagian OSC MPHS serta barisan perunding atas kerjasama yang membolehkan proses pra-rundingan dilaksanakan secara ‘self regulation’ dengan mematuhi semua syarat dan ulasan teknikal.

Kenyataan itu menekankan bahawa inisiatif High Speed Hulu Selangor bukan sahaja mempercepatkan kelulusan pembangunan, tetapi turut memudahkan pelaburan di daerah berkenaan.

Permohonan pembangunan berimpak tinggi ini adalah permohonan kelima dan terakhir di bawah MPHS 14 Flagship sebelum MPHS beralih kepada inisiatif SPEED Selangor bermula tahun ini.

MPHS menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor bagi meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dan menarik lebih banyak pelaburan ke Hulu Selangor.

Pada Oktober 2025, Kerajaan Negeri melancarkan Speed Selangor bagi mempercepatkan kelulusan projek pembangunan dan lesen perniagaan.

Tempoh kelulusan dipendekkan daripada tiga bulan kepada maksimum 30 hari bagi projek perindustrian dan komersial berimpak tinggi serta strategik.

Speed Selangor menekankan kemudahan perniagaan dengan memastikan proses yang pantas dan cekap oleh PBT tanpa menjejaskan ketelusan serta akauntabiliti kerajaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.