Harga murah, pilihan pelbagai tarik pengunjung ke Selangor HAVOC Raya Fest

14 Mac 2026, 3:00 PM
Harga murah, pilihan pelbagai tarik pengunjung ke Selangor HAVOC Raya Fest
Harga murah, pilihan pelbagai tarik pengunjung ke Selangor HAVOC Raya Fest
Harga murah, pilihan pelbagai tarik pengunjung ke Selangor HAVOC Raya Fest

SHAH ALAM, 14 MAC: Tawaran harga berpatutan dan kepelbagaian produk menjadikan Selangor HAVOC Raya Fest 2026 di Pusat Konvensyen Setia City antara lokasi pilihan orang ramai untuk mendapatkan barangan persiapan Aidilfitri.

Pengunjung dari Kuala Lumpur, Mohd Hazwan, 39, berkata penganjuran festival tahun ini dilihat lebih meriah berbanding edisi lalu berikutan penyertaan lebih ramai vendor yang menawarkan pelbagai produk menarik.

Menurutnya, pengunjung kini mempunyai lebih banyak pilihan termasuk pakaian raya, aksesori dan pelbagai produk lain di bawah satu bumbung.

Pengunjung, Mohd Hazwan, 39. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Tahun ini saya rasa lebih meriah kerana terdapat banyak vendor yang menarik dan menawarkan pelbagai pilihan produk kepada pengunjung.

“Selain itu, tempat yang disediakan juga lebih selesa, vendor pun lagi banyak. Harga lebih murah dan sesuai untuk semua kategori pengunjung,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui di festival tersebut semalam.

Sementara itu, pengunjung dari Selangor, Norshuhada, 35, berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang mengunjungi festival tersebut yang dianjurkan setiap tahun.

Pengunjung, Norshuhada, 35. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELNAGOR

Menurutnya, penganjuran HAVOC Fest sentiasa menunjukkan penambahbaikan terutama dari segi kemudahan dan susun atur ruang yang memudahkan pergerakan pengunjung.

“Saya memang menyokong HAVOC Fest setiap tahun. Dari segi dewan dan susun atur memang ada perubahan dan lebih selesa untuk pengunjung.

“Selain itu, harga yang ditawarkan juga berpatutan dan festival yang berlangsung tanpa henti selama beberapa hari memberi fleksibiliti kepada orang ramai untuk datang membeli-belah pada bila-bila masa,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggalakkan orang ramai khususnya penduduk sekitar Selangor dan Lembah Klang untuk berkunjung ke festival tersebut bagi mendapatkan pelbagai barangan raya pada harga yang berbaloi.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan beramah mesra bersama para peniaga Selangor HAVOC Raya Fest di Pusat Konvensyen Setia Alam, Setia Alam pada 13 Mac 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke festival tersebut, malam tadi.

Keberangkatan baginda disambut oleh EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi, yang turut bersama dalam acara perasmian festival tersebut.

Tengku Permaisuri Selangor kemudian meluangkan masa beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung, selain meninjau pelbagai produk yang ditawarkan termasuk makanan, pakaian dan barangan persiapan Aidilfitri.

Kehadiran Baginda menceriakan peniaga dan pengunjung yang hadir ke festival yang berlangsung 96 jam tanpa henti, mulai 12 hingga 16 Mac itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.