SHAH ALAM, 30 DIS: Selangor HAVOC Raya Fest 2026, sebuah festival raya berskala mega akan berlangsung selama 96 jam tanpa henti pada Mac ini.
Festival itu bakal diadakan di Pusat Konvensyen Setia City Setia Alam bermula 12 hingga 16 Mac 2026, dengan sasaran 1.5 juta pengunjung.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata edisi 2025 berjaya menarik 1.2 juta pengunjung dengan nilai transaksi mencecah RM10 juta, sekali gus membuktikan potensi besar festival itu sebagai pemacu ekonomi rakyat.
"Penganjuran ini bukan sekadar soal kemeriahan, tetapi satu perancangan ekonomi yang membuka peluang kepada masyarakat untuk berbelanja secara berhemah, mendapatkan produk berkualiti bagi persiapan Aidilfitri serta membuka pintu rezeki kepada usahawan dan vendor tempatan," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan festival tersebut di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, semalam. Festival yang memasuki tahun kedua itu anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor bersama Havoc Event & Management Sdn Bhd.
Mohd Najwan berkata festival tersebut sejajar komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan platform berimpak tinggi untuk memperkasa keusahawanan tempatan dan merancakkan ekonomi komuniti.
"Lebih 350 vendor akan terlibat kali ini merangkumi pelbagai reruai jualan, bazar berbuka puasa, promosi ‘happy hour’, serta aktiviti interaktif untuk seisi keluarga.
"Dengan tema “Havoc-nya Raya di Kampung!”, Selangor HAVOC Raya Fest 2026 menggabungkan elemen tradisional dan moden bagi mewujudkan suasana Aidilfitri yang penuh nostalgia, meriah dan mesra keluarga," ujar beliau.
Tambahnya, sepanjang penganjuran selama 96 jam tanpa henti itu, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan pentas, penampilan artis dan pempengaruh popular, aktiviti khas kanak-kanak, program keagamaan serta cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah lumayan, termasuk hadiah utama sebuah kereta.
"Pendekatan ini menjadikan Selangor HAVOC Raya Fest bukan sekadar lokasi membeli-belah, tetapi sebuah platform komuniti yang inklusif, seimbang antara hiburan, kekeluargaan dan nilai keagamaan, sekali gus mampu menarik pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat," katanya.




